KUALA LUMPUR – Penghantaran kenderaan Perodua terus ditambah baik untuk tiga bulan berturut-turut sebanyak 102% kepada 14,160 unit pada bulan September daripada 6,988 unit pada bulan Ogos.
“Rangkaian bekalan automotif telah menunjukkan peningkatan tetapi masih belum mencapai potensi yang sepenuhnya. Kami akan terus berusaha bersama-sama para pembekal dan pengedar kami untuk meningkatkan keselamatan dan produktiviti,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Menurutnya, pertumbuhan secara beransur-ansur dalam pengeluaran dan jualan disertakan dengan langkah-langkah pengawasan kualiti yang ketat di dalam operasi Perodua, adalah untuk memastikan kepuasan para pelanggannya.
Setakat tahun ini, Perodua menjual 119,093 kenderaan antara Januari dan September 2021 berbanding 145,012 pada tempoh yang sama tahun 2020.
Dalam perbandingan suku kedua tahun ini dengan suku ketiga, penjualan merosot sebanyak 44.6% kepada 21,803 unit antara bulan Julai dan September daripada 39,381 kenderaan yang didaftarkan antara April dan Jun tahun ini.
Perintah Kawalan Pergerakan kedua di seluruh negara bermula pada 1 Jun 2021 dan berakhir secara berperingkat mulai 16 Ogos 2021.
”Suku keempat tahun 2021 memberikan ramalan yang lebih baik berbanding dua suku sebelumnya, terutama sekali peningkatan ketara dalam pengurangan kes Covid-19 di seluruh negara serta kadar vaksinasi yang menghampiri 90% populasi orang dewasa Malaysia,” kata Zainal sambil mohon maaf di atas kesukaran yang dihadapi disebabkan oleh kelewatan penghantaran.
Namun, katanya, Perodua akan membantu para pelanggan dengan sebaiknya untuk memastikan kenderaan Perodua mereka dihantar secepat
mungkin. – MalaysiaGazette