KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan sijil pengecualian kepada mereka yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, permohonan itu boleh dibuat menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan pergerakan fizikal.
“Individu-individu ini akan mendapat pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dengan menyatakan mereka tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan mengesahkan perkara itu dan seterusnya mereka harus mengemukakan borang khas slip penilaian kesesuaian menerima vaksin Covid-19 bagi pesakit dengan masalah kesihatan tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini daripada Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlis (PH) yang bertanya mengenai apakah alternatif yang dilakukan kerajaan bagi mereka yang tidak dapat divaksin atas faktor kesihatan.
Khairy berkata, perkara itu perlu disahkan oleh pakar perubatan hospital swasta yang merawat individu tersebut atau pakar daripada hospital kerajaan.
“Bagi yang tidak dapat divaksin ini, mereka perlu mematuhi SOP kendiri lebih ketat antaranya sentiasa memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan memandangkan lebih berisiko dijangkiti Covid-19,” katanya.
Jelasnya, sijil digital tersebut akan diperoleh melalui MySejahtera dalam tempoh tujuh hari jika permohonan lengkap dan mengikut syarat ditetapkan.
Sementara itu, Khairy turut menjelaskan, mengenai kad fizikal vaksinasi masih boleh digunakan jika peranti digital tidak bertukar kepada vaksinasi lengkap.
“Jika ada yang hilang kad fizikal tersebut, mereka harus ke PKD untuk melaporkan kehilangan dan perlu mengikut langkah seterusnya untuk mendapatkan kad fizikal yang baharu.
“Ia masih boleh digunakan sebagai menggantikan kad digital,” katanya.- MalaysiaGazette