Home Nasional Jangan cetuskan api perkauman

Jangan cetuskan api perkauman

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara amat kesal di atas komen berunsur perkauman yang telah dibuat oleh seorang pengguna media sosial terhadap pemain badminton perseorangan negara, Kisona Selvaduray ekoran kekalahan atlet tersebut di tangan pemain Jepun, Akane Yamaguchi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman.

Menurutnya, sukan telah sekian lama menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan kita semua tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, namun ia telah dicemarkan oleh sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif yang mencetuskan api kemarahan dan perpecahan.

Justeru, seluruh rakyat Malaysia terutamanya pengguna media sosial diingatkan jangan sesekali bermain dengan kata-kata yang boleh mencetuskan api perkauman.

Walaupun hanya sepatah perkataan, ia tidak wajar sama sekali dalam sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan kerencaman budaya seperti negara kita.

Tambahnya, semua pihak perlu mengelak daripada menggunakan kata-kata yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum-kaum lain demi menjaga perpaduan dan keharmonian Keluarga Malaysia.

”Kita adalah Keluarga Malaysia, tidak kira sama ada kita bangsa Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum dan etnik sekalipun, semangat sebagai sebuah Keluarga Malaysia perlu disemai, dipupuk dan dipelihara agar kita dapat terus hidup dalam keharmonian dan kesejahteraan,” ujar kementerian itu. – MalaysiaGazette