JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menawarkan pemberian baucer dengan nilai RM1.5 juta sebagai memacu kembali sektor pelancongan di negeri ini selepas peralihan Fasa 2 PelanĀ PemulihanĀ Negara (PPN) pada 24 September lalu.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, baucer itu ditawarkan dalam bentuk potongan harga bagi produk-produk tertentu melibatkan pelancongan di Johor.
“(Baucer) ini termasuk mendapat potongan harga bagi produk tertentu sektor pelancongan Johor,” katanya di sidang media selepas melancarkan Johor Tourism Interchange (JTI) dan Virtual Majestic Johor Week di sini hari ini.
Hasni juga berkata, kerajaan negeri yakin dengan usaha itu ia dapat menggalakkan kunjungan pelancong domestik pada tahun depan.
Beliau berkata, sektor pelancongan diakui menjadi penyumbang kepada salah satu sektor penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri.
Kata Hasni lagi, dengan adanya kempen Johor Virtual Majestic 2021 ini, kerajaan negeri boleh mengenengahkan produk pelancongan dalam bentuk yang lebih terkini.
“Dengan mengambilkira sewaktu kita menghadapi pandemik Covid-19 banyak perkara yang perlu kita lakukan secara apa yang dikatakan sebagai mengikut peredaran masa.
“Banyak produk pelancongan dibuat melalui secara promosi melalui media sahaja tetapi kita perlu menggunakan segala teknologi yang ada untuk mengenegahkan produk-produk yang ada di Johor,” katanya.
Stuktur Tourism Johor yang merupakan agensi di bawah kerajaan negeri akan diteliti supaya peranannya lebih berkesan dalam sektor pelancongan dalam mendepani penularan Covid-19.
“Dalam keadaan yang amat mencabar di tahun tahun hadapan peranan Johor Tourism itu perlulah dapat membantu pelancong yang berteraskan jaminan keselamatan di setiap lokasi pelancongan.
“Ini salah satu usaha kerajaan untuk menarik pelancong domestik yang lebih penting kita ingin menunjukkan destinasi Johor ini selamat,” katanya.- MalaysiaGazette