Home Nasional Cabutan khas 22 kali: Ada anjakan daripada mimbar Masjid Rusila ke Putrajaya?...

Cabutan khas 22 kali: Ada anjakan daripada mimbar Masjid Rusila ke Putrajaya? – Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Tindakan Pas seolah-olah bersetuju dengan keputusan Kementerian Kewangan yang membenarkan cabutan khas sebanyak 22 kali kepada syarikat nombor ramalan adalah tidak wajar.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, apakah kewajaran Pas yang berada di dalam kerajaan hanya bersetuju dengan keputusan itu.

“Apakah relevannya 22 kali cabutan daripada lapan kali pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dahulu?

“Apakah kerajaan hari ini nak tambah cukai dosa? Apakah buat dosa lepas tu cuci dosa?” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mahfuz berkata, tindakan Pas itu seolah-olah mendapat persetujuan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mungkinkah ini anjakan daripada mimbar khutbah Jumaat Masjid Rusila, Marang kepada Putrajaya?

“Ini sangat mengecewakan saya dan berharap pihak kerajaan seharusnya melihat kembali untuk menurunkan kepada tujuh kali cabutan, menanglah daripada PH dulu, atau hapuskan terus,” ujarnya.

Katanya, cabutan khas itu adalah untuk satu syarikat dan sudah ada tiga nama syarikat dibenarkan berbuat demikian.

“Satu syarikat 22 kali cabutan, tiga syarikat bermakna 66 kali dan itu hanya di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada minggu lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan kerajaan memberi kebenaran kepada semua syarikat nombor ramalan untuk melaksanakan 22 cabutan khas sepanjang 2021. – MalaysiaGazette