Home Nasional Hospital Sibu masih tunggu kelulusan tubuh hospital medan

Hospital Sibu masih tunggu kelulusan tubuh hospital medan

Hospital Sibu

KUALA LUMPUR – Hospital Sibu sedang dalam proses untuk menubuhkan hospital medan bagi mengatasi masalah ketidakcukupan katil, khususnya, bagi kes bukan Covid-19.

Hospital medan dijangka mampu memuatkan 100 katil dan segala kos pembinaan ditanggung oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN).

Pengoperasiannya akan dikendalikan oleh petugas kesihatan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta gabungan daripada petugas hospital sedia ada.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam proses menunggu kelulusan.

Pengarah Hospital Sibu, Dr. Nanthakumar a/l Thirunavukkarasuk yang menjelaskan mengenai kesesakan yang berlaku di hospital itu akibat kekurangan katil dan petugas barisan hadapan berkata, hospital ini mempunyai 17 katil yang telah digazetkan dan majoriti petugas serta peralatan perubatan sedia ada telah dikerah dan dipindahkan dari wad unit rawatan rapi (ICU) bukan Covid-19 untuk bertugas di wad ICU Covid-19.

Bagi menampung bilangan kes Covid-19 pada masa ini, Hospital Sibu telah meningkatkan bilangan katil ICU kepada 57 katil (28 di ICU manakala 29 telah dilakukan repurpose di Wad Covid19 Akut).

Selain daripada itu, terdapat 13 katil ICU di Wad Respiratori masih dalam proses dinaik taraf dan dijangka siap pada 30 Oktober 2021.

Sebanyak 10 katil daripada modular ICU masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada 11 Oktober 2021.

Manakala, dua wad yang melibatkan Wad Respiratori (ICU upgrading) dan Wad 17 masih dalam proses dinaik taraf.

Kedua-dua wad ini nanti dijangka berupaya memuatkan sejumlah 75 katil secara keseluruhan dan situasi ini secara tidak langsung akan turut meningkat keupayaan Hospital Sibu bagi menampung kekurangan kapasiti katil sedia ada.

Wad Covid-19 Akut yang mempunyai 124 pesakit hanya berkapasiti sejumlah 64 katil sahaja.

Bagi mengatasi masalah ini, sebahagian daripada Wad 17 akan dibuka mulai esok melibatkan 24 katil sebagai Wad Covid-19 Akut.

Menurut beliau, bagi kes pembedahan elektif yang telah tertangguh, pihak pengurusan hospital telah berusaha secara penyumberluaran untuk menghantar pesakit ke hospital swasta di sekitar daerah Sibu.

Nanthakumar berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM 600,000.00 telah diterima pada 27 September 2021 bagi urusan tersebut.

Manakala, pesakit Covid-19 yang stabil akan ditempatkan di Hospital Daro dan Hospital Kanowit bagi mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Sibu.

Penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID- 19 Berisiko Rendah (PKRC) Daro juga telah dilaksanakan.

Ekoran daripada masalah tenaga kerja tidak mencukupi adalah disebabkan 53 orang petugas hospital telah dijangkiti oleh Covid-19.

Banyak usaha dan inisiatif untuk memutuskan rantaian tersebut telah pun dilaksana seperti mengerahkan petugas sedia ada untuk bertugas serta memastikan perkhidmatan di semua wad tidak terganggu.

Pasukan Jururawat juga telah memulakan perkhidmatan syif selama 12 jam.

Walaupun arahan pembekuan cuti rehat terpaksa dilaksanakan demi kepentingan perkhidmatan, namun kelonggaran untuk bercuti rehat akan diberikan sekiranya terdapat perkara yang melibatkan kebajikan petugas termasuk kes kecemasan yang
melibatkan ahli keluarga seperti urusan perubatan dan kematian.

Oleh demikian, pihak pengurusan hospital telah memohon agar Jururawat Kontrak dikekalkan bertugas di Hospital Sibu sehingga 31 Disember 2021 demi kepentingan perkidmatan walaupun telah mendapat perjawatan tetap di hospital lain nanti.

Ini memandangkan jawatan sedia ada di Hospital Sibu telah pun dipenuhi dan tiada kekosongan pada masa ini.

Malah, Jabatan Anestesiologi Hospital Sibu setakat ini mempunyai 12 Pegawai Perubatan Pakar tetapi dua orang dikuarantin dan seorang sedang cuti bersalin, 36 pegawai perubatan (2 dikuarantin, 2 cuti sakit), 93 jururawat (7 dikuarantin).

Kesemua mereka bertugas melaksanakan rawatan di ICU melibatkan pesakit Covid-19 sejumlah 28 katil dan bukan Covid-19 (9 katil), bilik pembedahan Covid-19 (2 OT), bukan Covid-19 (2 OT), perkhidmatan anesthesiology clinic dan sakit akut yang mana tugasan-tugasan tersebut telah membebankan mereka.

Pengurusan Hospital Sibu juga ujar beliau, sedaya upaya memastikan usaha mobilisasi petugas melibatkan 35 pegawai perubatan, 40 jururawat, 25 penolong pegawai perubatan dan 20 pembantu perawatan kesihatan dicapai agar segala operasi perkhidmatan rawatan bagi Covid-19 termasuk bukan Covid-19 dapat dikendalikan dengan lancar.

Hospital Sibu akan menerima seramai 10 pegawai perubatan dan 10 penolong pegawai perubatan yang akan dimobilisasikan daripada Semenanjung Malaysia bagi membantu pelaksanaan pengoperasian Covid-19. – MalaysiaGazette