Home Politik PRN Melaka, Wanita UMNO minta ketengahkan calon – Norshida

PRN Melaka, Wanita UMNO minta ketengahkan calon – Norshida

KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO menyerahkan kembali mandat kepada rakyat menerusi polihan raya negeri adalah tindakan tepat bagi menyelesaikan kemelut yang tiada noktah di Melaka.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, rakyat mahukan pemimpin baharu dan calon yang benar-benar berjiwa rakyat.

“Berilah peluang muka baru yang berkaliber, yang mampu menjadi nakhoda di Melaka.

“Ketengahkanlah khususnya golongan Wanita UMNO Melaka yang sejak sekian lama setia tidak kira waktu menaburkan bakti untuk rakyat tanpa memikirkan kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemimpin yang menjual slogan perjuangan ‘demi rakyat’ ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Ia menyusahkan rakyat yang sedang bergelut dalam meneruskan kehidupan akibat Pandemik Covid-19.

“Rakyat harus gunakan segala kuasa untuk diterjemahkan undi sewaktu pilihan raya negeri kali ini.

“Sedar atau tidak, mahu diakui atau tidak, sebenarnya akibat kepentingan peribadi dan menafikan hak rakyat, telah meruntuhkan kerajaan Melaka,” katanya lagi.

Jelasnya, akta anti lompat parti dan pemecatan ahli Parlimen atau Dun perlu diluluskan dengan segera.

“Rakyat sememangnya meluat dengan sikap segelintir pemimpin langsung tidak memikirkan soal rakyat yang sedang bergadai nyawa untuk meneruskan kehidupan dan keluarga.

“Janganlah kita alpa segala mimpi ngeri PRU-14 ditikam Pakatan Harapan membawa pepecahan sehingga hari ini merosakkan kemajuan Negeri Melaka.

“Yakinlah hanya UMNO yang mampu membawa kestabilan politik dan kemakmuran Negeri Melaka,” katanya.

Semalam Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober 2021.

Perkara itu dimaklumkan selepas bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka kelmarin. – MalaysiaGazette