Home Nasional Warga asing dicekup bersama rokok seludup

Warga asing dicekup bersama rokok seludup

Suspek ditahan PGA dalam serbuan di Seri Kembangan kerana memiliki rokok seludup. foto ihsan PGA

SERDANG – Seorang lelaki warga asing ditahan bersama 4,223 karton rokok seludup dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batilion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Superintendan Rizal Mohamed berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 2.45 petang.

Semasa serbuan pihaknya melakukan pemeriksaan di premis berkenaan sebelum menemui sebuah kenderaan yang kemudian berjaya membawa kepada penemuan 4,223 karton rokok seludup di dalamnya.

“Rokok seludup yang dirampas itu daripada suspek dianggarkan bernilai RM168,204 dan nilai cukai pula berjumlah RM552,740.

“Kami turut merampas sebuah kenderaan dan telefon bimbit dari suspek berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM752,144,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kastam 1967.

Ujarnya, penahanan suspek warga asing itu berjaya menyekat satu lagi aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Seri Kembangan. – MalaysiaGazette