Home Politik Nor Azman, Idris Haron tidak sertai mana-mana parti sehingga PRN diumum

Nor Azman, Idris Haron tidak sertai mana-mana parti sehingga PRN diumum

Sidang media ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.
Nor Azman Hassan dan Idris Haron dalam satu sidang media.

MELAKA – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO yang dilucutkan keahlian parti menetapkan pendirian tidak akan menyertai mana-mana parti sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan.

ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron buat masa ini akan kekal bebas.

Kedua-duanya juga membuat keputusan untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di bawah tiket parti yang akan ditentukan apabila tiba masanya kelak.

“Idris pun ada berpakat dengan saya, kita akan cari parti dan yang dua lagi saya tidak tahu,” katanya dalam sidang media yang turut diserta Idris di sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakannya bersama tiga ADUN lain menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan DUN Melaka terbubar, katanya, keputusan itu dibuat tanpa tekanan mana-mana pihak.

“Tiada jual beli dan tawaran (untuk tarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali).

“Kami bekerja untuk untuk rakyat, siang malam kami bekerja. Saya titiskan air mata bila tengok rakyat susah,” katanya.

Menurut Nor Azman keempat-empat mereka telah cuba untuk menghalang aktiviti kleptokrasi yang berlaku dalam pimpinan kerajaan negeri Melaka.

“Saya tidak salahkan Yang di-Pertua, saya salahkan bekas Ketua Menteri mengapa biarkan rakyat. Tidak nampak rakyat tengah susah.

“Tindakan kami untuk mengekat kerajaan kleptokrasi dan korupsi di bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Azman berkata terdapat seekor lagi singa di Melaka yang bertindak merosakkan imej negeri.

“Sebenarnya ada tiga ekor singa yang main peranan merosakkan negeri Melaka, kerajaan dan keluarga Melaka,” jelas Nor Azman.

Nor Azman turut mempertahankan yang beliau masih lagi ahli UMNO biarpun parti itu telah mengeluarkan surat pemecatan terhadapnya dan Idris.

“Saya masih ahli UMNO dan tidak akan sertai mana-mana parti buat masa sekarang melainkan pada PRU15 dan saya akan menentukan hala tuju politik saya.

“Kalau dia (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) nak pecat sesuka hati dia, dia kena panggil kami, sudah terlambat Datuk Ab Rauf untuk jumpa saya,” katanya lagi.

Untuk rekod, ini adalah kemunculan kali pertama Nor Azman selepas mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Sulaimanbersama ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Idris. – MalaysiaGazette