KUALA LUMPUR – Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meredah ombak kuat dalam keadaan gelap selepas diturunkan tekong berhampiran Pantai Kelanang, Banting ditemui lemas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam terdapat lebih kurang 20 orang PATI telah mendarat di Pantai Kelanang .
“Bertindak atas maklumat awam itu, IPD Kuala Langat bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah bergegas ke tempat kejadian.
“Di pantai itu, kami berjaya menahan seramai 14 PATI warga Indonesia yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh perempuan yang cuba mendarat di sekitar perkampungan Kelanang dan kebun sawit berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mereka yang ditahan berumur 30-an dan 40-an dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Mereka dipercayai memasuki perairan Malaysia melalui Tanjung Balai dengan sebuah bot tongkang yang dinaiki lebih kurang 40 orang.
PATI berkenaan memberitahu, ketika menghampiri pantai, bot yang dinaiki dipukul ombak dan ribut menyebabkan tekong meminta mereka turun serta-merta dan berenang ke pantai.
“Malangnya, dua mayat lelaki PATI dari kumpulan yang sama dipercayai lemas setelah turun dari bot dan cuba berenang sejauh 80 meter ditemui tidak bernyawa di tepi pantai.
“Mayat pertama ditemui di Pantai Kelanang pada jam lebih kurang 6.50 pagi, disusuli mayat kedua di Pantai Morib pada jam sekitar 9.30 pagi tadi,” ujar beliau.- MalaysiaGazette