TEMERLOH – Bagi meraikan sesi kembali ke sekolah tahun ini, seramai 2, 800 pelajar dalam kalangan keluarga B40 di Pahang akan menerima Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) berjumlah RM168,000.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia membabitkan 1,400 pelajar sekolah menengah dan 1,400 pelajar sekolah rendah.
“Pelajar terlibat daripada keluarga B40 dari 16 sekolah rendah serta empat sekolah menengah di dua Dewan Undangan Negeriyang terletak di Parlimen Kuala Krau.
“Semoga bantuan yang diberikan bantuan dapat meringankan bebanan keluarga masing-masing untuk menyediakan kelengkapan anak mereka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Syed Ibrahim yang juga ADUN Kerdau berkata, antara sekolah yang terlibat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau, SMK Kuala Krau, SMK Telok Sentang, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dan 16 sekolah rendah lain.
Tambahnya, majlis penyampaian bantuan persekolahan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Back To School (BTS) @KPLB Kementerian Pembangunan Luar Bandar diadakan di Dewan Sri Ketumbit semalam.
Hadir sama Pengarah Mara Pahang, Soffian Mustafa dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh, Mohd Affendey Mohd Saad.
Menurut Syed Ibrahim, majlis penyampaian bantuan itu akan diadakan di kawasan DUN lain di negeri itu dalam masa terdekat.
“Pihak YPM & JPNP akan mengadakan jelajah ke daerah terlibat bersama barisan Exco bagi mengagihkan sumbangan ini kepada penerima mengikuti tarikh dan masa yang sesuai,” katanya.
Syed Ibrahim turut berterima kasih kepada pihak YPM membantu anak-anak B40 di DUN Kerdau dan Jenderak dan meraikan usaha murni tersebut. – MalaysiaGazette