Home Nasional Tidak bawa kad pengenalan boleh dipenjara, denda

Tidak bawa kad pengenalan boleh dipenjara, denda

Ismail Mohamed Said

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa berhak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kegagalan membawa kad pengenalan adalah satu kesalahan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

“Ingin ditegaskan bahawa semua kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 merupakan kesalahan boleh tangkap bagi maksud undang-undang yang berhubung prosedur jenayah,” katanya pada pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (BN-Parit), Datuk Mohd Nizar Zakaria berkenaan bentuk hukuman dilaksanakan oleh kerajaan kepada individu sekiranya tidak membawa kad pengenalan.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan asal Mohd Nizar mengenai sejauh mana keberkesanaan usaha yang telah dijalankan bagi membendung sindiket jenayah pemalsuan kad pengenalan, Ismail berkata, sebanyak 176 operasi penguatkuasaan telah dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat tempoh 30 September lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut 153 operasi penguatkuasaan kendalian JPN dan 23 operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

“Hasil daripada operasi penguatkuasaan yang telah dijalankan, seramai 77 individu telah ditangkap dan didakwa atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan orang lain.

“Individu yang terlibat di dalam pemalsuan kad pengenalan, boleh disabitkan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e), PPPN 1990 (Pindaan 2007),” katanya. – MalaysiaGazette