BENTONG – Dua lagi seksyen projek Lebuhraya Central Spine (CSR) iaitu Seksyen 5C dan Seksyen 5D melibatkan laluan sejauh 22.3 kilometer yang menelan belanja sebanyak RM631 juta dibuka secara rasmi hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membabitkan jajaran dari Kampung Asap ke Kampung Sertik (seksyen 5C) di Bentong dan Bentong Bypass (seksyen 5D).
Ujarnya, jajaran Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (Lebuhraya Pantai Timur) melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga dan berakhir di Persimpangan Keruntung, Pahang
“Antaranya Projek Central Spine Road atau dalam Bahasa Malaysia, Lebuhraya Tengah Utama, merupakan projek pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang hampir 306.8 KM dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan LPT, Bentong yang dijangka siap sepenuhnya tahun 2025.
“Atas sikap ihsan dan tidak mahu bebankan rakyat, projek lebuhraya 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) ini adalah bebas tol atau tidak dikenakan bayaran tol dan dimulakan sejak Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Penyerahan projek yang siap daripada Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kerjaraya Malaysiadisempurnakan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadzillah Yusof.
Tambah Wan Rosdy, pembukaan jajaran lebuhraya itu dapat memberi kesan positif dengan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna ke negeri-negeri Pantai Timur.
Selain itu, ia dapat menyediakan infrastruktur berkualiti di luar bandar serta menjimatkan masa serta mengurangkan kesesakan apabila pengguna tidak lagi perlu melalui bandar Bentong terutama ketika waktu puncak, ujarnya.
“Ia sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di Jalan FT08 sedia ada, terutamanya pada musim perayaan utama dan cuti persekolahan”. – MalaysiaGazette