Home Nasional Saya tidak pernah bergaduh dengan Rizal – Rosmah

Saya tidak pernah bergaduh dengan Rizal – Rosmah

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor percaya bekas pegawainya, Datuk Rizal Mansor memberi keterangan palsu dan memfitnahnya selepas berkonspirasi dengan pendakwaan dalam kes mahkamah yang membabitkan beliau.

Malah Rosmah mendakwa, sepanjang Rizal bekerja dengannya sebagai pegawai yang mengendalikan media, beliau tidak pernah bergaduh atau mempunyai sebarang masalah peribadi dengan saksi pendakwaan ke-21 kes projek hibrid solar.

Rizal juga didakwa terpaksa menurut kehendak pendakwaan yang bertindak selektif kerana saksi itu tidak mahu terpalit dengan sebarang pendakwaan baharu terhadapnya.

Rosmah berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertanyakan tentang perihal Rizal.

Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

Sri Ram: Anda kata anda tidak berpuas hati dengan kerja Rizal?

Rosmah: Bila dia mula bekerja dengan saya, saya tengok bahasa dan teks ucapan yang ditulisnya untuk saya tidak setaraf teks untuk isteri seorang Perdana Menteri.

Sri Ram: Apa dilakukan oleh anda jika itu berlaku? Anda tegur Rizal?

Rosmah: Saya beritahu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod yang menjaga Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM).

Sri Ram: Rizal ada menggunakan pangkat Datuk, siapa yang cadangkan namanya untuk pangkat itu?

Rosmah: Beliau ada minta tolong saya cadangkan namanya. Saya kasihan jadi saya minta kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Sri Ram: Jika anda tidak mahu Rizal kerana tidak cekap, mengapa tidak pecat sahaja?

Rosmah: Itu bukan tugas saya, itu terpulang kepada Azizah Abod.

Sri Ram: Tetapi beliau selaku pegawai khas kepada Perdana Menteri yang menjaga FLOM pastinya boleh dengar cadangan kamu yang tidak suka dengan cara Rizal bekerja? Bukan begitu?

Rosmah: Betul.

Sri Ram: Apa pula hubungan kamu dengan Azizah Abod?

Rosmah: Saya tidak kenal rapat, hanya sebagai pegawai Perdana Menteri.

Sri Ram: Sepanjang Rizal berkhidmat dengan anda, adakah kamu berdua pernah bergaduh?

Rosmah: Tidak pernah. Tidak ada.

Sri Ram: Jadi kamu hanyalah mendakwa Rizal ini telah berkonspirasi dengan pendakwaan untuk mengenakan kamu dan tidak mahu berdepan dengan tuduhan lain di mahkamah? Begitu?

Rosmah: Ya betul.

Bekas pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor diiringi pengawai SPRM hadir berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018

Pada masa sama, Sri Ram memanggil kesemua pasukan pendakwaan ke hadapan dan memohon Rosmah mendedahkan seandainya ada antara mereka mempunyai motif sehingga berlakunya konspirasi pendakwaan selektif terhadap beliau.

Bagaimanapun Rosmah akui tidak mengenali mana-mana pasukan pendakwaan secara dekat, sebaliknya hanya melihat mereka ketika prosiding projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

Namun sejurus selepas pasukan pendakwaan dikenalkan kepada Rosmah, beliau secara berseloroh bertanyakan kepada Sri Ram mengapa beliau pula tidak mengenalkan diri.

Kata Sri Ram dengan wajah serius, itu bukan satu keperluan.

Sebelum ini, Rosmah mendakwa Rizal mencemarkan nama baik dan kredibiliti beliau sebagai isteri bekas perdana menteri, melalui inter alia deal yang dibuat dengan pihak pendakwaan.

Dakwa Rosmah, ia dilakukan dengan balasan pihak pendakwaan akan menarik balik pertuduhan-pertuduhan ke atasnya dan Rizal menjadi crown witness (saksi utama) pihak pendakwaan.

Pada 8 Januari 2020, Rizal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

Rosmah berhadapan tiga pertuduhan rasuah dengan menerima  sumbangan kerana membantu syarikat Jepak Holdings mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek solar hibrid di Sarawak. – MalaysiaGazette