KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim membidas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (PH) di Dewan Rakyat yang mendakwa wakil rakyat pembangkang tidak dijemput dalam program pertanian bandar di ibu kota.
Ia bermula apabila Shahidan ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bersatu Beufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (BN) berkenaan pelaksanaan pertanian bandar di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Teresa mencelah dan memberi pandangan negatif kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
Teresa seolah-oleh membuka pekung di dada selepas Shahidan mendedahkan pihaknya telah menjemput wakil rakyat pembangkang di Kuala Lumpur bagi menghadiri program pertanian bandar dan Ahli Parlimen Batu (PH), P. Prabakaran ada menghadirinya.
“Sebenarnya kita sudah libatkan semua wakil rakyat dan wakil rakyat pertama yang hadir adalah Yang Berhormat Batu dan yang berikutnya sudah pasti Seputeh dan semua wakil rakyat.
“Jadi, bila saya turun padang nanti, semua pemimpin masyarakat, pemimpin politik lain akan dilibatkan.
“Jadi, Yang Berhormat Batu terlupa bagitahu Seputeh bahawa sebenarnya Yang Berhormat Batu telah hadir di program urban farming (pertanian bandar) yang telah kita laksanakan.
“Yang Berhormat (Batu) lain kali maklumlah..telefonlah Seputeh sebab Seputeh kata wakil rakyat di Wilayah Persekutuan tidak dijemput.
“Kita sudah pun menjemput dan orang yang banyak sekali berinterkasi dengan saya ketika ini adalah Seputeh,” katanya.
Kenyataan balas itu membuatkan Teresa diam dan tidak lagi meneruskan serangan mempertikaikan kenyataan Shahidan di Dewan Rakyat.- MalaysiaGazette