KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan yang pernah dikecam netizen kini mula sinis akan pengkritiknya.
Mengikut pandangan penulis, Ahmad Maslan kini mula menggunakan pendekatan yang berbeza dalam memuatnaik setiap entri dalam twitter rasmi beliau.
Kata-kata seperti ‘pakai 2 sarung tangan’, dan ‘tiada lagi ridsect’ mula digunakan beliau dalam aktiviti mendekati masyarakat terutamanya ketika berdepan dengan pengendalian makanan.
“Hari itu masak burger, hari ini buat burger (pakai 2 sarung tangan) di Akie Halal Frozen Food, #Kuantan. Jadilah #BangsaUsahawan yg berjaya!,” kata Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian itu sebelum ini dikritik hebat oleh netizen apabila dia dilihat memasak burger dalam satu acara di Lahad Datu, Sabah menggunakan satu sarung tangan di sebelah kiri.
Netizen bertindak demikian ekoran pemimpin UMNO itu memegang roti burger tersebut menggunakan tangan kiri yang menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan netizen.
“Masak apam balik di Karnival Anak Muda #Pekan #Pahang bersama Dato Shah, Ketua #PemudaUMNO (kali ini pakai 2 sarung tangan & tiada Ridsect),” katanya.
Ahmad Maslan sebelum ini berkongsi resepi terbaharunya untuk tatapan ramai yang diberi nama Ayam Goreng Terung Pipit yang kelihatan begitu ringkat penyediaannya.
Namun, beliau ditegur oleh netizen tentang kedudukan penyembut serangga di bahagian dapurnya yang kelihatan begitu dekat dengan tempat penyediaan makanan di dapur beliau.
Ahmad Maslan sebelum ini popular dengan isu pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan mulai 1 April 2015 lalu. -MalaysiaGazette.