Home Nasional Harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 diumum November – KPDNHEP

Harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 diumum November – KPDNHEP

Pekerja Farmasi, Nur Hamizan Fitri Norhisham melayan pelanggan yang ingin membeli kit ujian pantas antigen COVID-19 berikutan kerajaan telah memutuskan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas tersebut ditetapkan pada harga RM19.90 seunit manakala harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 satu set ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Farmasi sekitar Bangsar. Foto MOHD ADZLAN, 05 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan paras harga yang baharu untuk kit ujian kendiri Covid-19 selepas beberapa faktor diperhalusi dan dimuktamadkan pada November ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penilaian sedang dibuat di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya terdapat kira-kira 6 juta kit ujian berada di pasaran dengan harga jualan seperti yang ditetapkan pada 5 September lalu.

“KPDNHEP mengambil maklum bahawa terdapat lebih kurang 6 juta kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) telah berada dalam pasaran.

“Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September 2021 turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) tersebut.

“Kerajaan juga telah menerima maklumbalas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu Alexander berkata, KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit ujian seperti pasar raya.

Dalam masa yang sama, sudah ada pasar raya yang telah bersetuju untuk menjual kit ujian pada harga lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, pembukaan penjualan kit ujian kendiri di pasar raya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober 2021.

Tambah beliau, KPDNHEP akan sentiasa memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian selain daripada farmasi dan klinik.

“Saya berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian ini akan mengambil maklum dan memberikan kerjasama demi kebaikan semua pihak.

“Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik ini dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik,” tambahnya. – MalaysiaGazette