Home Nasional Kawasan pelancongan hutan Johor sedia terima pengunjung

Kawasan pelancongan hutan Johor sedia terima pengunjung

Datuk Salim ketika melakukan tinjauan Hutan Lipur Gunung Pulai 1 di Tangkak.

KULAI – Kawasan rekreasi pelancongan, taman eko rimba (TER), hutan taman negeri (HTN) dan kawasan pelancongan dalam hutan simpanan kekal di Johor sedia menerima pengunjung setelah negeri itu memasuki fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Salim Aman berkata, kawasan berkenaan antara lokasi yang sering menjadi tarikan utama pengunjung menjalankan aktiviti beriadah.

“Di sini terdapat lapan TER, dua HTN dan 15 kawasan eko pelancongan yang menjadi daya tarikan pengunjung untuk mereka melakukan aktiviti riadah.

“Tetapi sepuluh daripadanya masih lagi kita tutup disebabkan proses menaiktaraf yang akan siap secara berperingkat hujung bulan ini,”katanya ketika ditemui semasa melawat Hutan Lipur Gunung Pulai 1, di sini, hari ini.

Salim memberitahu, kawasan yang masih belum dibuka ialah TER Gunung Pulai 2, TER Sungai Bantang di Labis Segamat, TER Gunung Berlumut di Kluang, TER Panti di Kota Tinggi dan HTN Ayer Hitam Utara di Muar.

Selain itu, Batu Tenggek di Kota Tinggi, Gunung Belumut, Gunung Gua Rimau, Gunung Chemendung masing-masing di Kluang dan Gunung Banang di Batu Pahat juga masih ditutup untuk pengungjung.

“Untuk fasa 3 PPN, kita sudah bersedia menerima kehadiran pengunjung dan pendaki dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti lengkap dua dos vaksin serta lepasi tempoh matang, berada dalam keadaan sihat dan menjaga penjarakan fizikal.

“Kemasukan setiap pengunjung juga direkodkan di pintu masuk bagi mengelakkan ianya melebihi had pengunjung yang dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata, bagaimanapun setiap kawasan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) pihaknya menghadkan 50 peratus had pengunjung dari keluasan sedia ada.

“Tempoh had masa yang dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti pendakian di dalam hutan simpanan kekal perlu mendapatkan permit yang boleh dimohon di Pejabat Hutan Daerah terdekat dalam tempoh empat hari sebelum tarikh pendakian.

Tambah beliau, kumpulan pendaki perlu menggunakan khidmat malim gunung perhutanan yang diiktiraf sebagai pemandu alam semulajadi dengan nisbah tujuh pendaki bagi seorang malim.

“Mereka perlu menyertakan salinan kad pengenalan berserta vaksin lengkap yang terdapat di MySejahtera,” jelasnya.

Orang awam termasuk pengunjung dan pendaki diingatkan mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan kawasan riadah dan laluan sepanjang trek pendakian.

“Mereka yang melanggar peraturan boleh didakwa di bawah kesalahan memasuki hutan simpan kekal tanpa permit Seksyen 47(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun
atau kedua-duanya,” katanya. – Malaysiagazette