KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim reda jika tidak akan menjadi perdana menteri selepas mempersoalkan Kertas Pandora yang membabitkan pemimpin dan golongan elit negara ini.
Dalam wawancara bersama ABC Radio melalui segmen RN Breakfast bersama Fran Kelly, Anwar berkata, beliau hanya melakukan tugas dan peranannya sebagai pemimpin pembangkang.
“Apabila anda mengemukakan persoalan mengenai Kertas Pandora, ia akan menjadikan usaha untuk menjadi perdana menteri semakin mencabar.
”Keseluruhan kuasa, elit politik, konglomerat dan pemimpin dalam media akan menyerang anda. Jadi saya tidak bimbang tentang itu.
“Saya hanya menjalankan tugas saya, que sera sera Sekiranya saya terus menjadi pemimpin pembangkang, jadilah ia. Sekiranya (saya menjadi) perdana menteri, saya akan bersyukur kepada Tuhan,” katanya.
Anwar mempersoalkan pembabitan pemimpin negara yang didedahkan dalam Kertas Pandora di Parlimen minggu ini dengan meminta isu itu diusul untuk dibahaskan dalam Parlimen tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.
Bagaimanapun, Presiden PKR itu mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menemuinya semalam untuk membincangkan pendedahan mengenai Tun Daim Zainuddin dan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Anwar berkata, Ismail Sabri telah bertanya kepadanya apa yang perlu dilakukan mengenai perkara tersebut kerana pendedahan itu membabitkan ahli politik yang memegang jawatan awam.
“Saya katakan kepada beliau bahawa siasatan penuh mesti dijalankan. Isunya bukanlah perkara baharu.
”Pada tahun 2012, saya mengemukakan laporan integriti kewangan global yang juga melibatkan ratusan bilion ringgit (luar pesisir). Kemudian, pada tahun 2015, ketika saya berada di penjara sudah ada pendedahan Kertas Panama,” ujar beliau.
Anwar menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mesti menjalankan siasatan secara menyeluruh kerana isu ini bukan baharu. – MalaysiaGazette