Home Nasional 15 nelayan positif dadah ditahan

15 nelayan positif dadah ditahan

Maritim Malaysia dan AADK Pahang menjalankan pemeriksaan ke atas nelayan dalam Ops Bersama baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang nelayan termasuk tujuh nelayan asing ditahan dalam Ops Bersama yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang kerana positif dadah.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, operasi yang melibatkan sembilan pegawai dan 28 anggota dijalankan dalam dua siri iaitu pada 29 dan 30 September di sekitar perairan Kuantan dan 7 Oktober lalu di sekitar perairan Kuala Rompin dengan kekuatan logistik dua aset laut iaitu bot ronda dan Kapal Maritim (KM) Tatau.

Operasi itu memeriksa 14 bot nelayan tempatan yang melibatkan 71 orang nelayan tempatan dan nelayan asing serta lapan kru warga asing di atas sebuah kapal pengangkut pasir.

”Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, mendapati tujuh nelayan tempatan dan lapan nelayan asing positif dadah jenis methamphetamine, berumur antara 20 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kesemua nelayan tempatan yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan Dan Pemulihan)1983 pindaan 1988, diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut.

Manakala nelayan asing yang positif diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Amran berkata, suspek positif dadah memberi alasan mengambil dadah untuk menghilangkan rasa tekanan ketika berada di tengah laut dan juga membantu memberikan tenaga apabila keluar ke laut. – MalaysiaGazette