KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka berada dalam aliran yang selepas mencatatkan kenaikan dalam minggu ini, susulan pengambilan keuntungan disebabkan harga yang lebih tinggi.
Menurut seorang peniaga, lonjakan harga baru-baru ini turut mengurangkan sentimen permintaan ke atas komoditi itu.
Niaga hadapan MSM melantun untuk ditutup pada paras tertinggi semalam, menetapkan harga pada rekod baharu bagi kali ketiga minggu ini.
Penanda aras kontrak minyak sawit untuk Disember 2021 meningkat RM117 kepada RM4,966 satu tan.
Sementara itu, pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa memberitahu pasaran akan memantau data Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) dengan teliti bagi September 2021, selain daripada data eksport 1 hingga 10 Oktober, keduanya dijadualkan keluar pada Isnin ini.
“Mereka berharap wujud kenaikan eksport yang kukuh dari bulan sebelumnya, selain daripada peningkatan pengeluaran yang agak kecil dan penurunan stok,” katanya kepada Bernama.
Untuk minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia kebanyakannya lebih tinggi, didorong oleh kebimbangan mengenai pengeluaran yang lemah dan jangkaan lonjakan permintaan dalam beberapa minggu akan datang.
Dari Jumaat ke Jumaat, Oktober 2021 meningkat RM401 kepada RM5,152 satu tan, November 2021 naik RM473 kepada RM5,085 satu tan dan Disember 2021 adalah RM461 lebih tinggi kepada RM4,966 satu tan.
Januari 2022 menokok RM455 kepada RM4,869 satu tan, Februari 2022 melonjak sebanyak RM441 kepada RM4,770 satu tan dan 2022 Mac bertambah RM433 kepada RM4,660 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 321,957 lot daripada 273,151 lot yang dicatatkan dalam minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 272,276 kontrak daripada 231,147 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk Oktober Selatan adalah RM240 lebih tinggi pada RM5,020 satu tan. – MalaysiaGazette