Home Utama Kes Covid-19 dijangka melonjak semula selepas rentas negeri dibenarkan

Kes Covid-19 dijangka melonjak semula selepas rentas negeri dibenarkan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan Covid-19 akan kembali melonjak selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan secara serentak tidak lama lagi.

Sumber dalaman Kementerian Kesihatan Malaysia  berkata, jangkaan itu berdasarkan pengalaman-pengalaman yang berlaku sebelum ini.

Paling dibimbangi penularan varian Delta yang sangat mudah merebak.

Bagaimanapun menurut sumber itu, sebahagian kes adalah kategori satu dan dua dengan mengambil kira kadar vaksinasi lengkap melebihi 80 peratus di semua negeri kecuali di  Sabah.

Menurut sumber itu, walaupun kes jangkitan Covid-19 dijangka meningkat, kerajaan tiada pilihan memandangkan sudah lebih setahun rakyat dikurung dan tidak dibenar merentas negeri.

Justeru, katanya, KKM kini menumpukan usaha untuk menggalakan rakyat memperkukuhkan kesihatan awam seperti mengasingkan diri sebaik sahaja didapati bergejala dan melakukan ujian saringan.

Rakyat juga perlu terus mematuhi prosedur tatacara piawaian (SOP) walaupun sudah lengkap divaksinasi.

“Dalam fasa pandemik hidup bersama Covid-19 ini, rakyat perlu ditekankan  menjaga diri dan masyarakat sekeliling daripada jangkitan Covid-19 adalah tanggungjawab diri sendiri.

“Sekiranya peningkatan itu tidak terkawal dengan pertambahan pesakit kategori tiga dan ke atas, kerajaaan mungkin akan mengkaji semula perancangan untuk beralih kepada fasa endemik,” katanya.

Sumber itu menambah, ini bermakna peralihan kepada endemik bergantung kepada tindakan rakyat menyesuaikan diri untuk hidup bersama Covid-19. – MalaysiaGazette