Home Nasional 3 RUU dibentang hari ini

3 RUU dibentang hari ini

The Special Dewan Rakyat Sitting at the Parliament in Kuala Lumpur. PIX COURTESY OF THE DEPARTMENT OF INFORMATION / 26 JULY 2021. motion of confidence motions no confidence Supply Bill 2022 Budget
Dewan Rakyat - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Berbaki dua hari lagi penutupan sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, tiga Rang Undang-Undang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, dua lagi adalah Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) meminta Menteri Kewangan menyatakan implikasi faedah terakru kepada para peminjam menerusi moratorium dan kesediaan kerajaan untuk meghapuskan faedah tersebut.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan sejauh mana perancangan kementerian dalam meneruskan usaha melaksanakan satu aliran sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan supaya tiada lagi masyarakat yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

Selain itu, soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia pula mengenai skrip drama yang menggunakan watak bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan sulit dengan isteri orang serta mengambil rasuah kerana ia menjatuhkan imej gelaran tersebut.

Turut ditanya adalah soalan mengenai pengeluaran dan pengedaran benih padi sah kepada peladang yang diajukan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – MalaysiaGazette