Home Ekonomi RM16 bilion kemudahan pembiayaan diluluskan

RM16 bilion kemudahan pembiayaan diluluskan

Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Jumlah kemudahan pembiayaan yang diluluskan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh 6 Mac 2020 hingga 28 Julai lalu sebanyak RM16 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa berkata, kelulusan itu melibatkan lebih 37,959 akaun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan kadar kelulusan sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima.

Jelas beliau, statistik bagi kemudahan pembiayaan tersebut adalah peruntukan RM10 bilion bagi Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Facility, SRF) kepada lebih 21,000 akaun PKS dengan kadar kelulusan: 78.1 peratus.

“Kelulusan lain melibatkan peruntukan RM6 bilion bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (Targeted Relief and Recovery Facility) di mana RM3.2 bilion diluluskan kepada 12,027 akaun PKS dengan kadar kelulusan 83 peratus.

“Selain itu, peruntukan RM800 juta bagi Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional (High Tech Facility – National Investment Aspirations, HTF-NIA) dengan jumalah RM68 juta diluluskan kepada 47 akaun PKS di mana kadar kelulusan adalah 81 peratus,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) yang minta menyatakan jumlah permohonan pinjaman perniagaan dalam semua pakej rangsangan atau pemulihan ekonomi negara sejak pandemik, kadar kelulusan permohonan, alasan pemohonan ditolak, jumlah peruntukan yang disediakan bagi program pinjaman perniagaan, jumlah pinjaman yang telah diluluskan, serta jumlah peruntukan yang belum diluluskan.

Yamani Hafez menambah, BNM turut meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi Kemudahan Automasi dan Digital (SME Automation and Digitalisation Facility, ADF) yang mana RM389 juta diluluskan kepada 338 akaun PKS dengan kadar kelulusan 82.4 peratus.

Tambah beliau, peruntukan RM6.5 bilion bagi Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (All Economic Sectors Facility, AES) sebanyak RM954 juta diluluskan kepada 2,103 akaun PKS dengan kadar kelulusan 77.7 peratus.

“Selain itu, peruntukan RM1.5 bilion bagi Kemudahan Agromakanan (Agrofood Facility, AF) di mana RM1.398 bilion diluluskan kepada 1,868 akaun PKS dengan kadar kelulusan 91.9 peratus.

“Pada masa sama, peruntukan RM600 juta bagi Pembiayaan Pelancongan PENJANA (Penjana Tourism Financing, PTF) di mana RM67 juta diluluskan kepada 336 akaun PKS dengan kadar kelulusan 63.5 peratus.

“Semasa membuat penilaian ke atas permohonan pembiayaan oleh PKS, terdapat tiga sebab utama permohonan mereka ditolak iaitu aliran tunai yang tidak mencukupi, perniagaan tidak berdaya maju (not viable); dan tahap keberhutangan yang tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette