Home Nasional Blogger hina YDPA didakwa

Blogger hina YDPA didakwa

pegawai SB memfailkan saman fitnah menerusi peguamnya M Manoharan pada 23 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas diplomat dan pengarah Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang blogger mengaku tidak bersalah atas dakwaan membuat hantaran bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di laman sosial, Facebook, pada Mei lalu.

Blogger yang dikenali sebagai Aspan Alias mohon dibicarakan atas tuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, M M Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu melalui Facebook miliknya menggunakan profil Aspan Alias pada jam 2.47 petang 16 Mei lepas.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun jumlah itu dikatakan agak membebankan tertuduh yang tidak lagi bekerja sejak 1995.

Aspan melalui peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla mohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dan sebutan semula kes pada 10 Disember ini. -MalaysiaGazette