PONTIAN- Tiga lelaki dipercayai warga asing ditemui lemas selepas bot dinaiki mereka karam di Pantai Rambah dekat sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, kejadian dikatakan berlaku pukul 5.41 petang.
Tujuh anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan mangsa terperangkap di Pantai Rambah. Setibanya di lokasi kejadian didapati tiga lelaki lemas akibat bot karam.
“Ketiga- tiga mangsa dipercayai warga asing berumur lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
Menurut Mahadir, anggotanya bertindak menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pukul 7.15 malam.- MalaysiaGazette