Home Sukan Aurelien Tchouameni permata baharu Perancis

Aurelien Tchouameni permata baharu Perancis

Aurelien Tchouameni. Foto Eurosport.

LONDON – Kemunculan bakat baharu di arena bola sepak antarabangsa sering menarik minat bukan saja kepada pasukan besar malahan juga membuatkan para penyokong teruja mengenai prospek tersebut.

Hal sedemikian turut dirasai oleh Aurelien Tchouameni yang baru-baru ini mewakili skuad Les Bleus dalam kejohanan Liga Negara-Negara UEFA.

Pemain tengah AS Monaco berusia 21 tahun tersebut kini dianggap sebagai permata baharu untuk France untuk masa depan.

Paul Pogba yang menjadi gandingannya berkata, Tchouameni merupakan bakat muda yang bagus yang semakin matang dalam permainannya.

“Dia bukan lagi seorang budak tetapi sudah menjadi lelaki matang dalam permainan. Adalah satu kepuasan dapat bersama dengannya di dalam padang.

“Dia membawa banyak tenaga kepada pasukan kami dan mempunyai kemahiran teknikal serta kekuatan fizikal yang sempurna.

“Kami mahu beliau mendapatkan sebanyak mungkin minit perlawanan dan saya sangat senang bekerjasama dengan Tchouameni,” kata bintang Manchester United itu kepada Eurosport.

Tchouameni adalah kelahiran Rouen di Perancis yang memulakan langkah di dalam kancah bolasepak dengan kelab amatur SJ D’Artigues sebelum berhijrah ke akademi Bordeaux.

Pada Januari 2020, Tchouameni dibeli oleh AS Monaco dan bintangnya terus menyinar serta berjaya menembus ke skuad utama France.

Terkini Tchouameni dikaitkan dengan beberapa kelab seperti Real Madrid, Arsenal dan tidak ketinggalan United berikutan prestasi memberangsangkan beliau sebagai pemain tengah serba boleh. – MalaysiaGazette