Home Ekonomi Eksport durian naik sebanyak RM74.8 juta sejak 2016

Eksport durian naik sebanyak RM74.8 juta sejak 2016

Peniaga menyusun pelbagai jenis durian yang dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Nilai eksport durian ke luar negara berkembang sebanyak RM74.8 juta atau 107 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2016, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata, sambutan hebat terhadap durian Malaysia menyebabkan nilai eksport durian meningkat saban tahun.

“Nilai eksport durian pada 2016 merekodkan sebanyak RM69.9 juta, RM59 juta pada 2017, RM124.9 juta pada 2018, RM127 juta pada 2019 dan RM144.7 juta pada 2020,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga September lepas, durian Malaysia berjaya dieksport ke 22 negara dengan lima negara merekodkan eksport tertinggi iaitu Hong Kong, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia berdasarkan rekod tahun 2020.

“Sebagai negara tertinggi mengimport durian dari Malaysia, Hong Kong menyumbang pertambahan nilai eksport durian iaitu RM57.52 juta atau 634.7 peratus,” katanya.

Ahmad berkata kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai eksport ke atas durian yang dieksport ke luar negara kerana mahu membantu pasaran eksport durian terus kompetitif, berkembang pesat dan berdaya saing dengan durian dari negara lain terutamanya Thailand.

“Pasaran eksport durian Malaysia dijangka terus berkembang lebih pesat pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette