KATHMANDU – Seramai 32 orang penumpang bas terbunuh dan ramai lagi yang cedera dalam nahas di barat laut Nepal.
Bas yang dalam perjalanan ke Gamgadhi di daerah Mugu itu tersasar ke lereng bukit dan terjunam di dalam sungai sejauh 300 meter d, menurut laporan media tempatan.
Punca kemalangan tidak diketahui lagi tetapi polis tidak menolak kemungkinan bas berkenaan berdepan dengan masalah brek.
Kemalangan jalan raya biasa berlaku di Nepal disebabkan struktur jalan raya yang buruk atau kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik.
Nahas itu berlaku ketika kebanyakan penumpang dalam perjalanan pulang selepas meraikan Vijayadashami – festival keagamaan di Nepal dan India.
Askar-askar Nepal dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
Sebahagian penumpang yang cedera diterbangkan ke hospital berhampiran.
Jumlah penumpang bas tersebut tidak dapat dipastikan tetapi polis berkata, angka kematian mungkin meningkat. – Agensi