WANITA tidak mahu berada di sesuatu posisi hanya kerana mereka wanita, tetapi kerana nilai dan kualiti mereka. Namun begitu, perkara ini bukanlah semudah berkata-kata. Apabila kita bercakap soal memperkasakan wanita, kita bukannya ingin mengambil alih kedudukan lelaki serta tidak memaksa wanita untuk berkhidmat di ruang awam. Apa yang ingin kita perjuangkan adalah kewujudan pemikiran budaya, infrastruktur dan sistem yang adil serta membolehkan wanita membuat pilihan yang terbaik untuk diri mereka, sama ada di ruang awam mahupun peribadi.
Selain pendidikan, antara usaha yang diambil bagi menggalakkan partisipasi dan representasi wanita di ruang politik (di mana wanita adalah 50% daripada populasi negara) ialah penerapan sistem kuota bagi wanita sebanyak 30% di dalam Parlimen. Kuota ini diperlukan bukan kerana wanita ini lembik sampai perlukan layanan khas, namun wanita berhadapan dengan masalah sistemik dan pemikiran budaya yang menyebabkan wujudnya diskriminasi sekaligus mengecilkan minat, partisipasi dan peluang untuk wanita tampil ke hadapan. Hakikatnya, wanita dan lelaki tidak bermula di garisan yang sama. Mari kita lihat pada budaya negara kita.
Dalam pimpinan parti politik pula, wanita masih diletakkan sebagai sayap dan ini menutup ruang untuk wanita mengepalai sesebuah parti. Tanpa menafikan kepimpinan lelaki, kita harus bersifat adil dalam memilih kerana budaya ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa kepimpinan itu hanyalah untuk lelaki dan kedudukan wanita hanyalah sebagai pembantu atau pendukung, meskipun mereka mempunyai kemampuan untuk memimpin. Wanita yang terkehadapan pula akan dilihat sebagai ‘agresif’,‘susah dapat jodoh, ‘tidak sopan’, ‘keterlaluan’ serta pelbagai konotasi negatif lain lagi.
Seterusnya, kita perlu sedar bahawa wanita dan lelaki ini mempunyai keperluan infrastruktur yang berbeza disebabkan peranan, pembinaan fizikal dan psikologi mereka. Kita ambil contoh ibu muda yang mempunyai anak kecil. Walaupun ibu dan ayah anak kecil ini berusaha memainkan peranan yang seimbang dalam membesarkan anak mereka, namun terdapat keperluan biologi serta psikologi yang secara langsung akan mempengaruhi masa, rutin dan prioriti seorang wanita.
Misalnya seperti pemberian susu kepada anak yang hanya boleh dihasilkan oleh ibu. Pemberian susu ibu ini disarankan sehingga anak 2 tahun. Satu perkara ini sahaja sekaligus akan merubah rutin harian dan keperluan seorang wanita seperti rutin menyusukan, rutin mengepam susu, rutin mengendalikan alat-alat mengepam dan lain-lain lagi. Tentu sekali rutin-rutin ini akan mengubah atau menambah pada beban kerja sedia ada.
Begitu juga dengan wanita bujang yang acapkali berhadapan dengan isu keselamatan dan gangguan seksual terutamanya apabila khidmat yang diperlukan itu melepasi waktu bekerja, ditambah lagi dengan infrastruktur yang tidak selamat seperti kekurangan lampu di jalan raya serta lokasi tandas wanita yang terpencil dan sebagainya. Disebabkan penciptaan kita yang berbeza, wanita kerap kali berada dalam posisi yang mendesak mereka untuk memilih dan mengorbankan salah satu daripada dua peranan ini, iaitu peranan di ruang peribadi atau pun ruang awam.
Dengan kurangnya fasiliti yang mesra wanita dan keluarga, seperti kewujudan nurseri di tempat kerja, tempat menukar lampin bayi, ruang khas menyusukan anak, tong sampah khas wanita, ia menambahkan lagi kesukaran wanita untuk berkhidmat di ruang awam. Sejarah menunjukkan perkara-perkara seperti ini seringkali tidak disedari atau diabaikan sekaligus oleh kaum lelaki dan memerlukan wanita untuk menyedari dan memperjuangkannya. Contohnya seperti peruntukan 10 bilion untuk menambah bilangan taska di tempat kerja sektor awam serta usaha meluluskan rang undang-undang gangguan seksual, yang diusahakan oleh YB Dr. Wan Azizah serta YB Hannah Yeoh semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan yang lalu.
Perkara ini sebenarnya seiring dengan transformasi yang berlaku di dalam dunia perniagaan. Misalnya seperti perubahan yang dilakukan Sheryl Sandberg, seorang tokoh sumber manusia dalam bidang teknologi. Beliau telah mencadangkan wujudnya tempat letak kereta khas untuk wanita mengandung kerana beliau memahami cabaran yang dihadapi oleh wanita mengandung ketika bekerja berbanding lelaki yang tidak mengandung. Budaya pemikiran, polisi serta infrastruktur ini perlulah dahulunya mesra wanita. Selagi ia masih bersifat patriarki dan menyusahkan wanita untuk berpartisipasi, maka selagi itu kita tidak adil untuk bercakap soal merit apabila dasarnya sahaja sudah tidak sama atau secara tepatnya, tidak optimum untuk memenuhi keperluan jantina yang berbeza.
Kalau pun kita mahu berbincang soal merit, kajian menunjukkan bahawa terdapat banyak kesan positif apabila sistem kuota ini dikuatkuasakan. Antarannya ialah peningkatan prestasi keseluruhan ahli parlimen kerana mereka tidak lagi terperuk di dalam kebiasaan budaya kerja yang dominan lelaki, penambahan sensitiviti pada jantina dalam perancangan sesuatu perkara serta pengembangan dan keyakinan wanita untuk berpartisipasi dan merepresentasikan diri mereka dan kaum wanita yang lain. Ada juga yang mengatakan bahawa wanita ini makhluk beremosi maka tidak sesuai untuk memimpin. Wanita ini lembut dan hanya berfikir soal keluarga.
Ironinya, apabila kaum lelaki bercerita tentang keluarga atau menggantung gambar keluarga di pejabat mereka, mereka dipuji sebagai ‘family man’, namun apabila wanita melakukan yang sama, mereka dilihat beremosi. Yang perlu kita fokuskan bukan lah pada kurang lebihnya dua jantina ini, namun bagaimana perbezaan fitrah wanita dan lelaki ini lah yang sebenarnya diperlukan di posisi hadapan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat itu diwakili, didengari serta diberikan tindakan yang sewajarnya. Ya, memang wujud beberapa wanita yang berjaya dalam ruang politik sejak sedekad yang lalu tetapi bilangan ini sangatlah kecil dan seringkali mereka datang dari keluarga yang sudah pun berada dalam golongan elit politik. Kita mahu sediakan ruang agar wanita dari setiap latar belakang mampu menerajuinya tanpa diskriminasi.
Saya percaya bahawa seandainya sistem dan infrastruktur itu makin mesra wanita, lebih banyak lagi isu-isu di luar skop kewanitaan dan kekeluargaan yang akan terus dijuarai oleh wanita kerana keperluan asas mereka telah dipenuhi. Waktu ini, baru lah kita boleh lebih kritikal dalam menganalisa prestasi kedua lelaki dan wanita. Kita harus sedari, wanita dan lelaki itu diciptakan berbeza, mempunyai keperluan dan definisi kejayaan yang berbeza. Perbezaan ini perlu dahulu diakui, serta diusahakan agar wujudnya keadilan dalam budaya pemikiran, infrastruktur dan sistem yang membolehkan wanita dan lelaki melengkapi satu sama lain, berjaya dalam pilihan masing-masing sehingga naratif keperluan kuota ini tidak lagi relevan untuk digunakan.