KUANTAN – Kerajaan Pahang meluluskan tanah seluas 90 hektar di Tanjung Putus, Mukim Kuala Kuantan, Kuantan bagi membangunkan satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan itu menjadikan Pahang sebagai penyumbang terbesar bagi pembangunan TKPM di seluruh negara.
“TKPM ini ialah yang ke-19 di Pahang dan tambahan ini menjadikan keluasan tanah dikhususkan untuk TKPM di negeri ini kira-kira 5,282.85 hektar bersamaan kira-kira 6,860 padang bola sepak.
“Tanah di Tanjung Putus yang diluluskan hari ini melibatkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri, yang turut diluluskan untuk tanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan.
Tambah Wan Rosdy, peserta yang akan dipilih kelak antaranya ialah dalam kalangan belia antara 18 tahun dan 40 tahun.
“Pemilihan peserta adalah dalam kalangan mereka yang ada lepasan sijil, diploma mahupun ijazah dalam bidang pertanian serta yang bersesuaian.
“Begitu juga dalam kalangan rakyat di bawah kategori B40, dalam lingkungan umur antara 23 dan 50 tahun,” katanya menerusi kenyataan media.
Jelasnya melalui fasa satu, peserta akan diberi keluasan minimum 0.4 hektar sehingga maksimum satu satu hektar setiap seorang.
Manakala di bawah fasa dua pula, peluasan tapak akan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri.
Wan Rosdy berharap Pahang terus meningkatkan pengeluaran makanan di dalam negeri dan untuk keperluan negara ini, di samping membantu menambah hasil pendapatan para peserta TKPM. – MalaysiaGazette