Home World Lima mati diserang lelaki guna panah di Norway

Lima mati diserang lelaki guna panah di Norway

Polis telah mengepung sebahagian besar bandar - Foto Reuters

NORWAY – Lima orang terbunuh dan dua lagi cedera di Norway setelah seorang lelaki menggunakan panah untuk menyerang mangsa di bandar Konsberg semalam.

Polis menerima berita mengenai serangan di kawasan barat daya ibukota Oslo, sekitar pukul pukul 6.13 waktu tempatan.

Ketua Polis, Oeyvind Aas berkata, seorang suspek dikatakan bertindak sendirian telah ditangkap dan pihaknya akan menyiasat sama ada ia berkaitan dengan pengganas.

Perdana Menteri, Erna Solberg mengatakan  laporan kejadian itu ‘mengerikan’ seperti laporan BBC News.

“Saya faham semua dalam ketakutan tetapi penting ditekankan bahawa polis sekarang sedang mengawal keadaan dan keadaan terkawal,” katanya pada sidang media.

Penyerang dikatakan melancarkan serangan itu di Pasar Raya Coop Extra dan salah seorang yang cedera adalah pegawai polis yang tidak bertugas dan berada di kedai ketika kejadian.

Bagaimanapun, tiada kakitangan pasar raya berkenaan  dilaporkan cedera.

Terdapat laporan berlaku konfrontasi antara penyerang dan polis sebelum dia akhirnya ditahan pada pukul 6.47 waktu tempatan. – Agensi