Home Seni Hidup Norkhuzaimah berhenti kerja jaga anak sakit

Norkhuzaimah berhenti kerja jaga anak sakit

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sumbangan Norkhuzaimah Abd Rahman bersama tiga anaknya pada Program Jejak Asnaf di Perumahan Awam Sri Selangor, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak selepas berpisah dengan suami bukan suatu perkara  mudah.

Tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh ibu tunggal, Norkhuzaimah Abd Rahman, 38, demi membesarkan tiga anak yang berusia 12, lapan dan empat tahun.

Berkongsi kisah kehidupannya, Norkhuzaimah berkata, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa diharungi lebih-lebih lagi selepas berpisah dengan bekas suami pada tahun 2019 selain terpaksa memilih untuk berhenti kerja.

Norkhuzaimah sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur selama 12 tahun sebelum meninggalkan kerjayanya itu demi menjaga anak bongsunya, Mohamed Iman Sufi, 4, yang menghidap penyakit jantung.

Norkhuzaimah Abd Rahman. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2021.

“Saya terpaksa berhenti kerja sebab saya sudah tiada siapa yang boleh tolong jaga anak tapi sampai sekarang masih terus berjumpa doktor untuk dia mendapatkan rawatan.

“Anak saya sakit sejak dari lahir iaitu tiada saluran pernafasan. Dalam 10,000 kes, ada satu kes macam dia dan sekarang masih pergi untuk temu janji di HKL sebab saya dah minta Institut Jantung Negara untuk pindahkan kes anak ke HKL.

“Sebelum ini ketika jalani pembedahan, saya masih bekerja di HKL tapi sekarang saya sudah berhenti, jadi saya dah tak mampu,” katanya ketika ditemui pemberita di Perumahan Awam Sri Selangor di sini semalam.

Terdahulu, Norkhuzaimah bersama tiga anaknya menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor yang menyampaikan sumbangan barangan asas menerusi program Jejak Asnaf.

Tambah Norkhuzaimah lagi, ketika ini dia hanya bergantung kepada jualan biskut yang dibuat untuk jualan amal selain bantuan kewangan bulanan berjumlah RM450 daripada Baitulmal dan bantuan sewa rumah.

“Jualan amal adalah dalam RM200 atau RM300 sebulan, cukup lah untuk saya membesarkan anak-anak,” katanya sebak.

Sementara itu, sepasang suami isteri turut berkongsi kisah mereka yang terputus bekalan makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum dibantu oleh MAIWP menerusi Jejak Asnaf.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sumbangan kepada Teruna Aduka dan isterinya, Norhayatulsima Maulana bersama dua anak mereka pada Program Jejak Asnaf di Perumahan Awam Sri Selangor, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2021.

Menurut Norhayatulsima Maulana, 29, yang berasal dari Semporna, Sabah, dia bersama tiga anaknya berusia 10, enam dan tiga tahun hanya menjamah bubur kosong selama seminggu ekoran kesempitan hidup yang dialami.

Jelas Norhayatulsima, suaminya, Teruna Aduka, 32, terpaksa pulang ke kampung kerana mempunyai urusan keluarga dan sejak itu dia hanya tinggal bersama tiga anak.

Norhayatulsima Maulana. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2021.

“Suami balik Sabah kerana ada urusan keluarga, di sana pun kami ada dua lagi anak yang masih bersekolah.

“Pernah sekali kami terputus bekalan makanan kira-kira seminggu dan saya minta tolong dari persatuan penduduk di sini kemudian mereka hubungi Baitulmal mengatakan saya tiada makanan berikutan suami hilang kerja akibat PKP.

“Saya hanya beri anak makan bubur sahaja ketika itu kerana tiada wang untuk beli lauk,” katanya yang tidak bekerja.

Dalam pada itu, Teruna berkata, dia baru sahaja pulang ke ibu kota selepas berbulan-bulan terkandas di kampungnya di Tawau.

“Saya sendiri sedih tak dapat hantar duit belanja kepada isteri dan anak-anak di Kuala Lumpur kerana di kampung hanya melakukan kerja sawah.

“Tapi syukur ada bantuan daripada MAIWP yang menghulurkan bantuan sepanjang ketiadaan saya di sini.

“Sebelum ini saya pernah bekerja di sebuah bengkel namun kehilangan pekerjaan ketika PKP, selepas itu saya pulang ke kampung kerana ada urusan yang perlu diselesaikan,” katanya.

Jelas Teruna, dia kini baru sahaja memulakan kerja sebagai seorang pengawal keselamatan selepas dibantu oleh MAIWP. – MalaysiaGazette