KUALA LUMPUR – UMNO perlu mencari formula agar tidak kalah lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah melahirkan kerisauan jika tidak dipulangkan kepada UMNO asal, berkemungkinan negara ini akan dipimpin oleh bukan bangsa sendiri.
“Ini yang sangat saya bimbangkan, tiada lagi muka Melayu sebagai pemimpin.
“Saya bercakap ini kerana, apa yang dilakukan oleh UMNO baharu boleh jadi begitu jika tidak kembali ke asal.
“Jika Melayu sendiri tidak dapat meyakini kaum sendiri, yang mana kitalah majoritinya, apa akan jadi nanti,” katanya dalam program webinar dengan tajuk ‘UMNO Yang Hilang’ anjuran Majlis Perundangan Melayu hari ini.
Beliau berkata, biarpun pelbagai usaha yang dilakukan demi mengembalikan UMNO asal untuk menerajui kembali tampuk kepimpinan negara, perkara itu diakui agak sukar direalisasikan.
Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, walaupun percaya dengan ketelusan ahli-ahli akar umbi daripada UMNO asal, namun UMNO baharu yang diterajui oleh mereka yang masih mahu jawatan dan kedudukan, tiada apa yang dapat dilakukan.
“Bagaimana kaedah UMNO asal ini boleh kembali ke tempatnya? Kita lihat sendiri, selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, ramai yang meninggalkan Barisan Nasional (BN).
“Susah untuk kita kembali kerana keadaan sudah berubah. Tak ada upaya nak buat apa-apa dengan UMNO baharu ini. Kerana itu saya berundur.
Beliau berkata, walaupun sudah berundur, masih ramai yang datang kepadanya dan berharap UMNO dapat dipulihkan.
“Mereka mahu UMNO asal ini diaktifkan kerana ramai yang ada hari ini sudah keluar dan menyertai parti lain.
“Kalau kita mahu aktifkan semula, UMNO asal ini perlu membuat saringan dan tapisan terlebih dahulu.
“Ini penting, agar yang akan bersama-sama UMNO asal ini bukan mereka yang memikirkan soal kedudukan atau jawatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette