Home Politik Pengagihan kerusi PRN Melaka tak sukar buat PH – Fahmi

Pengagihan kerusi PRN Melaka tak sukar buat PH – Fahmi

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (kanan) membuat 'flag off' penghantaran barang selepas pelancaran servis penghantaran SKIDOO di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak akan menghadapi kesukaran dalam pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana gabungan itu akan mempertahankan kerusi masing-masing dan hanya akan mengadakan rundingan melibatkan kerusi-kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya percaya kerusi-kerusi yang ditandingi Bersatu itu yang akan diagih-agihkan kepada parti dalam PH. Terpulang kepada serkiranya ada parti lain yang ingin bertanding atau mewujudkan satu persefahaman dalam PRN Melaka maka mereka boleh berbincang dengan parti yang menerima atau diserahkan kerusi-kerusi tersebut.

“Bagi PKR, kita akan sasarkan kerusi-kerusi yang ditandingi dahulu dan semestinya kita nak menang semula kerusi yang dikhianati iaitu DUN Rembia dan beberapa lagi kerusi yang kita sedang sasarkan jadi kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Bersatu,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran perkhidmatan penghantaran baharu, SKIDOO di pejabatnya hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (kanan) bercakap pada sidang media pada pelancaran servis penghantaran SKIDOO di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 OKTOBER 2021.

Pada Januari lalu, PKR kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia apabila penyandangnya, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengumumkan menyertai UMNO setelah sembilan bulan menjadi wakil rakyat bebas selepas keluar daripada PKR.

Ditanya samada gabungan yang dipimpin pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan mesyuarat mengenai PRN Melaka, Fahmi berkata, pihak pembangkang mengambil pendirian untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin depan.

Ujarnya daripada ketetapan itu, barulah PH akan mengatur gerak kerja untuk menghadapi PRN Melaka.

“Kita belum tetapkan tapi saya rasa kita akan tunggu SPR dan sejurus selepas pengumuman itu, pimpinan PH akan mengadakan mesyuarat dan adakan beberapa langkah selepas itu,” katanya lagi.

Langkah sama diambil UMNO semalam apabila mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) yang bermesyuarat hampir empat jam tidak membuat sebarang keputusan mengenai PRN Melaka.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin, parti itu mengambil keputusan untuk menunggu ketetapan yang akan dibuat oleh SPR Isnin ini.

Pada 5 Oktober lalu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ia selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Harun dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan bersama dua lagi ADUN masing-masing dari Bersatu dan Bebas bertindak menarik balik sokongan kepada Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali.

SPR dalam satu kenyataan pada Rabu lalu berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka yang ke-15, Isnin ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mesyuarat itu akan diadakan di sebuah hotel di Melaka pada jam 10 pagi yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Untuk rekod, mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN Melaka: UMNO tunggu keputusan SPR