KUALA LUMPUR – UMNO kini dalam proses mendapatkan maklum balas daripada semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, maklum balas itu termasuklah jika ada sebarang bentuk persefahaman politik.
Tujuannya bagi memastikan setiap 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka yang ditandingi memperoleh kemenangan.
“Mesti ada PRN, ia pasti. Kita nak menang semua tempat, kita bertanding di 28 DUN dan calon ditentukan pucuk pimpinan,” katanya menerusi sidang media selepas melawat jentera parti di Melaka hari ini yang disiarkan secara live oleh UMNO Online.
Ahmad juga mengulangi keputusan belum dibuat memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mengumumkan soal PRN Melaka pada Isnin depan.
Menurutnya, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi tidak membuat sebarang keputusan segera memandangkan tarikh PRN Melaka belum diumumkan.
“Mesyuarat semalam dapat maklum balas formal, kepimpinan parti kena dapat maklum balas yang tepat kajian tepat, baru buat keputusan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan turun ke Melaka berjumpa dengan jentera parti pada minggu depan.- MalaysiaGazette