Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kelewatan penggubalan akta berkenaan akan menyebabkan dua isu besar akan berleluasan setiap kali musim pilihan raya.
“Apakah menyebabkan kelewatan ini? Sudah setahun idea ini diutarakan dan jawatankuasa teknikal mengkaji akta ini pun sudah ditubuhkan.
“Isunya adalah dana yang diberikan kepada parti-parti politik dan juga politik wang. Kedua-dua isu ini boleh merosakkan parti dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga berkata, sehingga kini tiada akta yang mengawal politik kecuali akta pilihan raya yang mengehadkan jumlah duit kempen pilihan raya umum.
“Apabila tidak ada akta, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh berbuat apa-apa.
“Jika ia tidak dibendung, perkara sebegini akan berterusan. Politik wang akan melahirkan parti yang merosakkan parti politik di negara ini,” katanya.
Sebaliknya, kata beliau, akta baharu ini sebaiknya dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mengelakkan insiden pembelian undi.
“Ia juga dapat mengelakkan peristiwa seperti dana derma berbilion ringgit daripada negara luar dapat disalurkan tanpa dikesan sehingga ia terbongkar di ruangan awam.
“Semua ini adalah untuk memastikan pilihanraya dapat diadakan dalam keadaan yang betul-betul adil dan padang yang rata,” ulasnya.
Katanya, kelewatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tarikh PRU14 turut menyukarkan usaha memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
“Ramai yang merintih dengan kepayahan membuat perancangan kerana tarikh PRU14 masih tidak diketahui. Akibat tarikh yang tidak diketahui, semua berada dalam spekulasi. Pelbagai acara dikait dengan PRU14, keadaan ini sangat tidak baik bagi sebuah masyarakat dan negara.
“Sepatutnya tarikh PRU14 sudah diumumkan. Ia memudahkan rakyat dan Menteri seperti Paul Low untuk membuat perancangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette