Home Nasional Maklum balas rakyat dapat semak dan imbang prestasi menteri

Maklum balas rakyat dapat semak dan imbang prestasi menteri

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan bersama barisan Jemaah Menteri-Menteri Kabinet pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 OGOS 2021

KUALA LUMPUR – Maklum balas rakyat di media sosial terhadap prestasi setiap Jemaah Menteri sebagai pemarkahan sempena pencapaian awal tempoh 100 hari pertama perkhidmatan mereka mampu memberi kaedah semak dan imbang bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, pelaksanaan itu diyakini dapat merangsang kebebasan bermaklumat dalam kalangan rakyat untuk menyalurkan pandangan mereka mengenai prestasi menteri dan kementerian masing-masing.

Namun jelas pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia, pemberian merit penilaian ke atas menteri sewajarnya melibatkan pemarkahan antara 10 hingga 20 peratus kerana banyak indikator lain yang memberi kesan kepada prestasi mereka.

“Maklum balas rakyat di media sosial menjadi satu kaedah semak dan imbang yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuhkan khidmat menteri dan kementerian terutama menyalur khidmat terbaik kepada rakyat, kerajaan dan negara.

“Mekanisme ini dapat merangsangkan kebebasan bermaklumat dalam kalangan rakyat untuk salur pandangan mereka terhadap prestasi pekhidmatan diberikan oleh menteri dan kementerian.

“Namun bagi pandangan saya, pemberian merit ini haruslah merangkumi 10 hingga 20 peratus daripada pengiraan permarkahan prestasi ke seluruhan menteri dan kementerian memandangkan banyak indikator lain beri kesan perkhidmatan lain kepada menteri dan perkhidmatan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa pandangan rakyat terhadap prestasi menteri-menteri yang dimuat naik menerusi media sosial akan diambil kira sebagai pemarkahan sempena pencapaian awal tempoh 100 hari pertama perkhidmatan mereka.

Ismail Sabri berkata, ada pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklum balas dan analisis sentimen ramai terhadap menteri seperti kajian sikap rakyat terhadap menteri sejak memegang jawatan dan menerusi kajian profesional.

Perdana Menteri turut mengakui beliau sendiri rajin membaca komen dan hantaran rakyat menerusi sosial media dan kadang-kala menjawab sendiri komen itu. – MalaysiaGazette