Home SISWA Penuntut USM pilih waktu petang untuk mendaftar

Penuntut USM pilih waktu petang untuk mendaftar

Sesi pendaftaran penuntut baharu di USM Pulau Pinang berjalan lancar dengan pematuhan SOP yang ketat.

GEORGE TOWN – Kira-kira 400 penuntut baharu mendaftar sebagai pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata penuntut memilih untuk mendaftar pada sebelah petang bagi mengelakkan kesesakan walaupun pihak USM telah menyediakan kemudahan bagi pendaftaran mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, penuntut juga dilihat perlu menjalani ujian saringan pantas Covid-19 sebelum proses pendaftaran.

Proses sanitasi dilakukan sebelum barangan penuntut dibawa menggunakan kenderaan universiti.

Bagi penuntut yang datang menaiki kenderaan e-hailing, barangan mereka perlu disanitasi sebelum dibawa ke desasiswa masing-masing menaiki kenderaan universiti.

Penuntut baharu dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Jamilah Nashibah Sufizan, 19 berkata, dia memilih untuk berdaftar di sebelah petang kerana ia lebih memudahkan pergerakkan dirinya serta keluarga.

Jelas gadis dari Kedah itu, meskipun sudah tidak dapat lihat gelagat waris menyorong beg penuntut baharu, namun hari pendaftaran itu dianggap sangat selesa dan selamat.

“Saya bertolak dari rumah di Kodiang, Kedah, kira-kira jam 12 tengah hari dan pilih untuk mendaftar pada waktu petang kerana bimbang ramai orang pada sesi pagi.

Waris hanya dibenarkan berada dalam kenderaan masing-masing.

“Keadaan sangat tenang, hanya penuntut sahaja yang dibenarkan menghadiri proses mendaftar manakala waris pula perlu berada di dalam kenderaan.

“Keseluruhan proses pendaftaran sangat baik dan saya rasa selamat dan yakin dengan persekitaran norma baharu ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kira-kira 400 penuntut baharu mendaftar di USM Pulau Pinang hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Siswa Lestari Siti Hawa Mat Junoh berkata, pendaftaran penuntut baharu berlangsung selama dua hari berakhir esok namun penuntut yang mempunyai kekangan boleh mendaftar pada bila-bila masa.

Jelasnya, setakat hari ini seramai 400 penuntut baharu telah berdaftar sebagai pelajar di USM.

“Selepas mengesahkan kehadiran, penuntut perlu menjalani saringan termasuk ujian pantas Covid-19 yang mengambil masa selama 15 minit.

“Walaupun ia mengambil sedikit masa, namun kami terima maklum balas positif daripada waris mengenai SOP berkenaan yang lebih efisyen bagi mengekang penularan,” katanya. – MalayasiaGazette