Home Nasional Kerja-kerja mengorek terowong MRT SSP bermula 2018

Kerja-kerja mengorek terowong MRT SSP bermula 2018

Najmuddin Abdullah

GUANGZHOU – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bersedia melaksanakan kerja menggali terowong bawah tanah bagi pembinaan MRT laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya (SSP) menjelang suku pertama tahun depan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp Datuk Najmuddin Abdullah berkata, kerja pengorekan sepanjang 13.5 km itu akan bermula di Jalan Ipoh dan berakhir di Bandar Malaysia Selatan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kerja-kerja itu akan dilaksanakan selepas dua daripada empat mesin pengorek terowong (TBM) baharu diterima masing-masing pada November dan Disember ini manakala dua lagi dijangka pada tahun hadapan.

Najmuddin berkata, keempat-empat mesin itu yang merupakan unit TBM jenis pembolehubah ketumpatan kini sedang menjalani proses ujian penerimaan kilang di Herrenknecht Tunneling Machinery Co. Ltd di Guangzhou, China.

Beliau berkata, ujian penerimaan itu akan meliputi lebih 400 proses pemeriksaan dalam memastikan sistem dan penghasilan reka bentuk mesin memenuhi spesifikasi mengikut kontrak yang ditetapkan.

“Mesin itu seterusnya akan dihantar ke tapak untuk pemasangan yang akan mengambil masa dua bulan sebelum ia boleh mengorek.

“Setiap unit mesin itu bernilai antara RM40 juta hingga RM60 juta berdasarkan kepada spesifikasinya,” katanya kepada Bernama selepas meninjau proses ujian penerimaan kilang, di sini baru-baru ini.

Najmuddin berkata, sebanyak 12 mesin TBM akan digunakan bagi kerja-kerja membuat terowong bawah tanah untuk jajaran MRT SSP dengan lapan daripadanya merupakan mesin yang telah digunakan semasa membina terowong bagi projek MRT laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) yang telah dibaik pulih.

Beliau berkata penambahan jumlah mesin itu dilakukan kerana jajaran bawah tanah bagi laluan kedua MRT adalah lebih panjang berbanding laluan SBK iaitu hanya 9.5km.

Mesin pengorek terowong ini setinggi bangunan empat tingkat bergaris pusat 6.7 meter dengan kemampuan mengorek terowong pada purata 10 meter sehari.

Sepuluh daripadanya merupakan mesin pengorek jenis pembolehubah ketumpatan yang sesuai digunakan untuk situasi tanah batu kapur karstik dan dua lagi merupakan jenis keseimbangan tekanan bumi yang sesuai bagi Formasi Kenny Hill (mendapan batu-batuan dan berpasir).

Najmuddian berkata, Projek MRT SSP kini sudah mencapai 12.05 peratus siap dan dijangkakan mencapai 19 peratus menjelang hujung tahun ini.

MRT laluan SSP yang merupakan projek mega infrarakyat dengan peruntukan kos sebanyak RM32 bilion mempunyai jajaran sepanjang 52.2 KM meliputi 37 stesen dan 11 daripadanya adalah stesen bawah tanah dijangka siap sepenuhnya pada 2022.