Home Nasional Buaya besar sesat

Buaya besar sesat

Buaya besar seberat satu tan yang ditemui berkeliaran di Limbang, pagi ini. foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

LIMBANG – Seekor buaya besar lebih 16 kaki panjang telah ditemui oleh orang awam berkeliaran berhampiran dengan kawasan perindustrian di Limbang, Jalan Kubong awal pagi ini.

Kehadiran buaya seberat satu tan itu disedari kira-kira pada pukul 7 pagi.

Satu jentera bomba dengan lapan anggota bomba dari Balai Bomba Limbang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai selepas menerima panggilan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Limbang, Edmund D. Mahai yang berada di lokasi ketika kerja-kerja menangkap dan memindahkan buaya yang dilakukan jam 8.15 pagi ini berkata, buaya itu dipercayai tersesat dan naik ke darat ketika air pasang dan hujan lebat awal pagi tadi.

Anggota bomba terpaksa menutup mata dan mengikat kaki buaya sebelum khidmat jentera forklift milik orang awam digunakan untuk menaikkan reptilia tersebut ke atas lori bomba.

Menurut Edmund, buaya itu akan diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette