Home Utama Rakyat yang susahkan diri sendiri, bukan kerajaan menyusahkan mereka – PM

Rakyat yang susahkan diri sendiri, bukan kerajaan menyusahkan mereka – PM

Ismail Sabri Yaakob

BERA – Kerajaan tidak bermaksud menyusahkan rakyat yang tidak divaksin, sebaliknya mereka hanya menyusahkan diri sendiri kerana tidak dapat menikmati kelonggaran yang diberikan kepada penerima lengkap vaksin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairi Jamaluddin Abu Bakar membawa maksud kekangan yang dihadapi oleh mereka yang belum menerima vaksin.

Katanya, sehingga kini tiada paksaan untuk menerima vaksin dan kerajaan belum mewajibkan vaksin ke atas semua penduduk negara ini.

Namun Ismail Sabri berkata, kelebihan yang tidak akan dinikmati oleh goloongan antivaksin adalah seperti merentas negeri, menunaikan umrah dan menyertai sektor yang dibenarkan.

“Contoh balik kampung, mereka yang tidak vaksin tidak boleh merentas negeri dan yang dah ada vaksin berduyun-duyun nak balik jumpa keluarga.

“Tentu lebih susah buat mereka yang tak dapat vaksin, itu yang dimaksudkan oleh KJ (Khairy Jamaluddin), bukan kerajaan yang menyusahkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemakaian pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Bera di Dewan Sri Kempas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, di sini, hari tadi.

Hadir sama ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Semalam, Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan anti-vaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.

Beliau berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan anti-vaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

Sementara itu, Ismail Sabri menasihati mereka yang belum mengambil vaksin agar segera mendapatkan vaksin bagi membolehkan menikmati kemudahan yang dibenarkan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette