Home Politik Berjasa pilih parti serasi untuk jalin kerjasama depani PRN Melaka

Berjasa pilih parti serasi untuk jalin kerjasama depani PRN Melaka

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Zamani Ibrahim hadir pada sidang media berkenaan kemelut politik menjelang PRU-15 di Bandar Baru Bangi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 OKTOBER 2021.

BANGI – Berjasa akan memilih parti yang serasi untuk dijadikan rakan sekutu bagi menjalin kerjasama dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, parti pimpinannya perlu mencari banyak rakan sekutu dengan tujuan membawa nafas baharu dalam politik tanah air.

Beliau berkata, sejak dari awal lagi Berjasa tidak bersetuju terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kerana ia hanya akan menyusahkan rakyat.

“Berjasa berperndirian kita mahu mencari kawan yang ramai supaya kita dapat membawa nafas baharu dalam arena politik ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas parti, di sini, hari ini.

Menurut Zamani, parti itu kini menyusun strategi dalam berdepan PRN tersebut dan langkah paling penting adalah memastikan tidak ada pertembungan dua penjuru dengan parti yang menjadi rakan.

Sebelum ini Zamani menyatakan Berjasa tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan jajaran ketiga bersama parti politik dan NGO sekiranya Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak berubah dasarnya.

Katanya, parti pimpinannya itu lebih kepada matlamat dan perjuangannya membawa agenda negara, agama dan bangsa ke arah lebih baik di samping memberi peluang kepada muka baharu untuk memimpin. – MalaysiaGazette