Home Nasional JPA masih teliti cadangan wajibkan pemohon perkhidmatan awam lengkap 2 dos vaksin

JPA masih teliti cadangan wajibkan pemohon perkhidmatan awam lengkap 2 dos vaksin

Majlis Kenaikan Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera

BERA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih mempertimbangkan cadangan permohonan baharu dalam sektor perkhidmatan awam perlu melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, termasuk merujuk kepada aspek perundangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah mengeluarkan arahan bahawa setiap kakitangan kerajaan perlu mendapatkan dos lengkap vaksin.

Berikutan itu, katanya, penjawat awam yang enggan divaksin boleh dikenakan tindakan seperti tatatertib  kerana tertakluk kepada peraturan kerja yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun bagi yang baru hendak minta kerja kita lihat keseluruhan dari segi perundangan sebelum apa-apa keputusan rasmi dibuat,” kata Ismail Sabri selepas Majlis Kenaikan Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, di sini, hari ini.

Hadir sama ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Terdahulu Perdana Menteri menghadiri Majlis Penyampaian Peranti Komputer Program Cerdik Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera, Bandar 32 Felda Sebertak. – MalaysiaGazette