JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan kematian seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal disyaki menembak diri sendiri dalam kejadian di tempat letak kenderaan di Jalan Abdullah, di Muar, hari ini.
Mangsa yang berusia 29 tahun itu ditemui meninggal dunia dengan kesan tembakan pada leher kira-kira pada pukul 11.18 pagi di dalam kereta jenis Proton Preve miliknya.
Difahamkan, mangsa bertindak membunuh diri kerana tertekan dengan masalah peribadi.
“Pihak polis ada menerima maklumat seorang anggota polis ingin membunuh diri dari Whatsapp.
“Bertindak atas maklumat, satu operasi mengesan dan mencari mangsa dijalankan sebelum anggota terbabit ditemui di tempat letak kenderaan di pekan Muar dengan kesan tembakan pada leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ayob Khan berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38 berada bersama mangsa.
Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan -MalaysiaGazette