IPOH – Urusan perniagaan, menghantar barang dan melawat ahli keluarga sakit antara alasan diberikan oleh pemandu dan penumpang kenderaan yang tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19 untuk merentas negeri menggunakan laluan Gerik-Jeli pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak enam kenderaan yang cuba merentas negeri melalui sekatan jalan raya di Kilometer 9 Lebuhraya Timur Barat (LRTB) di Sungai Lebey, Gerik ke arah Kelantan dan Kedah diarah berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas negeri.
“Kenderaan yang diarah berpatah balik termasuklah sebuah lori yang (pemandunya) memberikan alasan untuk menghantar barang namun pemeriksaan dilakukan anggota mendapati penumpang atau kelindan tidak lengkap dua dos vaksin,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
“Gambar kesesakan yang ditularkan berlaku pada kira-kira pukul 4 petang Jumaat lepas di laluan LRTB Gerik-Jeli menghala ke Kelantan dalam jarak 1.5 kilometer tidak berlaku terlalu lama.
Kesesakan berlaku apabila orang ramai mengambil peluang bercuti panjang dan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul mulai Jumaat hingga Selasa ini untuk ke Kelantan,” katanya.