Home Ekonomi Bajet 2022: MEDAC sasar RM1 bilion – Noh Omar

Bajet 2022: MEDAC sasar RM1 bilion – Noh Omar

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) di The Everly Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mensasarkan peruntukan sehingga RM1 bilion dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu telah disampaikan beliau sendiri kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam sesi libat urus MEDAC bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), baru-baru ini.

“Memang kalau boleh kita nak minta RM1 bilion untuk program tapi berapa lulus itu saya tak berani komen.

“Dalam libat urus dengan Menteri Kewangan saya terlibat dengan semua pegawai (MEDAC), memang kita minta RM1 bilion,” katanya pada sidang media di Hotel Everly, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) melibatkan enam syarikat.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya dan Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad.

Dalam pada itu, Noh juga berharap dengan peruntukan RM1 bilion itu dapat membantu 197,000 usahawan mikro memulakan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pendemik Covid-19 sebelum ini.

“Kita nak bantu (usahawan mikro) dalam tempoh sebulan ini, kita ada 197,000 yang kita nak bantu mengikut pecahan dan agensi-agensi di bawah kementerian saya.

“Tekun berapa ramai… SME Corp berapa ramai…. Bank Rakyat berapa banyak, ada 197,000 usahawan, itu KPI (petunjuk prestasi utama) saya.

“Bermakna dalam tempoh 100 hari ini, saya kena capai KPI saya,” katanya.

Daripada jumlah perusahaan mikro itu, Noh tekad untuk membantu usahawan tidak formal iaitu mereka yang tidak berdaftar bagi memulakan semula perniagaan mereka.

“Saya yakin kerajaan akan memberikan tumpuan kepada memulihkan semula keadaan ekonomi khususnya untuk usahawan-usahawan mikro.

“Kita tengok pertama kali Perdana Menteri sebut PMKS, dulu kita kata IKS sahaja sekarang masuk M bermaksud Mikro.

“Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kata bukan sahaja nak bantu IKS tapi juga Mikro.

“Kami pula di peringkat kementerian, informal pun kita bantu, maknanya yang tiada lesen berniaga pun kita bantu,” katanya.

Katanya lagi, kira-kira 37,000 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang gulung tikar ketika pandemik Covid-19 akan dibantu memulakan perniagaan semula.

“Sekarang bagaimana usahawan-usahawan nak memulakan hidup dan perniagaan mereka.

“Inilah yang kerajaan kena berikan tumpuan untuk membantu usahawan di mana makro sebagai contoh hampir 37,000 yang gulung tikar.

“Bagaimana kita nak tolong mereka untuk memulakan perniagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette