KUALA LUMPUR – Pergerakan penumpang domestik pada bulan September meningkat 74 peratus kepada 362,000 berbanding bulan Ogos susulan gelembung pelancongan Langkawi dan hasil Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Peningkatan itu menyaksikan pertumbuhan 55 peratus jumlah pergerakan penumpang pada bulan lalu kepada 458,000 termasuk 96,000 dari segmen antarabangsa.
Dalam kenyataan di sini hari ini, MAHB berkata, gelembung pelancongan Langkawi bagi tempoh 16 hingga 29 September menyumbang sebanyak 37,000 orang penumpang.
Sepanjang tempoh itu, AirAsia menerajui pergerakan itu dengan 176 penerbangan dengan purata faktor muatan 64 peratus.
Operator lapangan terbang itu menambah, secara keseluruhannya lebih daripada 10,000 penerbangan domestik direkodkan pada September, bertambah 20 peratus berbanding bulan Ogos dengan 9,187 penerbangan domestik.
MAHB optimis trend melancong akan berterusan dengan kebenaran rentas negeri dan pengembaraan antarabangsa.
Sementara itu, bagi operasi kargo, MAHB berkata, bulan September menyaksikan kenaikan 24 peratus tahun ke tahun kepada 726,800 metrik tan. – MalaysiaGazette