KUALA LUMPUR – Teknologis dan juruteknik yang bekerja di sektor swasta didapati lebih terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara berbanding sektor awam, menurut survei yang dijalankan oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Sebanyak 1,298 responden (23.8%) dari sektor swasta mengalami kesan kecil yang menyebabkan beberapa masalah dalam operasi dan 950 responden (17.4%)
mengalami kesan besar yang menjejaskan keseluruhan operasi organisasi.
Dari segi proses dan beban kerja, pandemik ini telah memberikan kesan yang negatif.
Sektor awam dan swasta mencatatkan peratusan yang tinggi iaitu masing-masing 2,008 responden (36.8%) dan 2,011 responden (36.9%) manakala sebanyak 987 responden (18.1%) dari sektor awam dan 1,256 responden (23 %) dari sektor swasta mengalami peningkatan beban kerja akibat pandemik.
Ini bermakna landskap pekerjaan telah berubah dan seterusnya memberikan kesan kepada operasi organisasi.
Satu penemuan kajian ini yang agak membimbangkan ialah sebanyak 2,952 responden (54.1%) mengalami depresi, kebimbangan dan tekanan sepanjang tempoh pandemik.
MBOT berkata, kesan Covid-19 kepada organisasi dan pekerjaan jelas telah memberi impak kepada krisis kesihatan mental, termasuk tekanan yang berkaitan dengan proses pekerjaan, jaminan pekerjaan dan masalah kewangan.
Dapatan ini adalah selari dengan penemuan kajian yang diterbitkan oleh jurnal perubatan The Lancet, yang melaporkan seramai 52 juta penduduk dunia menderita kemurungan dan 76 juta mengalami kegelisahan pada tahun 2020 akibat daripada pandemik.
Walau bagaimanapun, pandemik Covid-19 memberikan beberapa kesan positif kepada teknologis dan juruteknik yang berdaftar dengan MBOT.
Kajian ini mendapati 1,701 responden (31%) dari sektor awam dan 1,433 responden (26%) dari sektor swasta menyatakan majikan telah memberikan fleksibilti kepada mereka dalam menjalankan tugas.
Selain itu, 1,107 responden (20%) dari sektor awam dan 741 responden (14%) dari sektor swasta berpeluang untuk meningkatkan kemahiran dengan menyertai pelbagai latihan khususnya secara dalam talian ketika pandemik.
MBOT mengalakkan semua pihak terutama majikan dan pemain industri untuk sentiasa peka terhadap impak pandemik kepada pekerja bagi memastikan produktiviti dapat dicapai dan pada masa yang sama tidak menjejaskan kesejahteraan pekerja khususnya teknologis dan juruteknik.
Majikan dan industri juga sewajarnya memberi perhatian kepada latihan semula kemahiran (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi mendorong pekerja untuk mempelajari kemahiran baharu yang selari dengan perkembangan ekonomi digital dan teknologi terkini. – MalaysiaGazette