Home Nasional Malaysia boleh jadi model penggunaan teknologi hijau – Tuan Ibrahim

Malaysia boleh jadi model penggunaan teknologi hijau – Tuan Ibrahim

PAS logo Melaka state election Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Malaysia boleh menjadi model kepada negara lain terhadap pengunaan teknologi hijau, khususnya pada rumah ibadat, yang menawarkan perbagai penjimatan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masjid boleh dijadikan contoh terbaik dalam mempamerkan penjimatan tenaga, air dan semua elemen yang dituntut Islam.

“Masjid boleh dijadikan model bangunan komuniti bangunan cekap tenaga, cekap air dan mesra alam serta rendah karbon,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran Wakaf Masjid Hijau di Pavillion Malaysia Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dilakukan secara maya, hari ini.

Tambah beliau, kementeriannya dan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) telah melancarkan program rumah ibadah hijau pada 25 September 2020.

Menurut Tuan Ibrahim, inisiatif itu bertujuan menjadi rumah ibadah sebagai pemangkin pelestarian alam sekitar dalam memupuk gaya hidup hijau kepada ahli qariah.

Jelasnya, ia membabitkan empat elemen hijau iaitu penjimatan eletrik, penjimatan air, penggalakkan pembelian dan penggunaan produk hijau serta pengurusan sisa buangan khusus minyak terpakai.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berharap masjid yang menerapkan teknologi hijau dapat membantu pihak pengurusan untuk mengakses sumber pembiayaan alternatif yang mudah, cepat dan mampan bagi membiayai projek hijau menerusi pengumpulan dana awam atau dana wakaf.

Menurutnya, dana itu boleh digunakan untuk menukar lampu di masjid dengan beralih kepada lampu LED, menukar kipas dan penghawa dingin yang lebih cekap pengunaan tenaga dan melakukan penuaian air hujan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, penyertaan kementerian itu pada Ekspo Dubai 2020 di UAE antara lain adalah untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dengan negara itu dan negara di rantau tersebut.

Menurutnya, terdapat peluang seperti padananan perniagaan, program sosial, seminar, lawatan perkongsian pintar dan kerjasama strategik yang boleh mengukuhkan hubungan dua hala.

“Usaha ini penting bagi membina nilai tambah khusus kelebihan sains dan teknologi masa depan, persekitaran pelaburan yang mampan, peniagaan yang kondusif selain membuka peluang dalam sektor ekoni baharu dan sedang muncul seperti teknologi kewangan, industri 4.0, taman teknologi eko serta tanaga boleh diperbaharui,” ujarnya. – MalaysiaGazette